Followers

Monday, January 22, 2007

AL-QURAN MERANGSANG KELAHIRAN SAINTIS-SAINTIS AGUNG

Nukilan, Dr. Danial bin Zainal Abidin (M.B.Ch.B., Universiti Alexandria)
Pengarah Urusan Danial Zainal Consultancy (M) Sdn. Bhd. dan
Penulis bagi PTS Publication & Distributors Sdn Bhd

Otak adalah satu organ istimewa yang dikurniakan Allah kepada manusia. Ketika seseorang bayi berumur tujuh minggu dalam rahim ibu, struktur utama otak sudah dapat dilihat dengan jelas. Dalam rahim ibu, pertumbuhan sel-sel otak berlaku dengan pesatnya. Lebih kurang 2.5 juta sel-sel otak (neuron) tumbuh pada setiap minit. Ketika dilahirkan jumlah sel-sel otak ini mencecah 100 bilion. Setiap sel ini pula mempunyai 1,000 tempat di mana ia dapat berhubung dengan sel-sel otak yang lain. Ketika baru dilahirkan sel-sel ini tidak banyak berhubungan antara satu sama lain.

Namun apabila bayi mula berinteraksi dengan alam, terutamanya di zaman kanak-kanak, sel-sel ini akan berhubungan dengan pesatnya. Semakin meningkat usaha dan pengalaman seseorang semakin rancaklah hubungan yang berlaku antara sel-sel ini. Semua ini akan menentukan kematangan, kepintaran, sikap serta kebijaksanaan seseorang sekali gus mempengaruhi kehidupannya. Apabila kesemua ini berlaku, manusia ketika itu tidak hanya mempunyai otak tetapi, yang lebih penting ialah, mereka juga mempunyai akal serta intelek.

Umat Islam dikurniakan Allah dengan satu agama yang mementingkan akal. Bagi Imam Al-Ghazali, “Akal ialah kekuatan pemikiran semula jadi yang dikurniakan Allah kepada manusia agar dengannya manusia dapat mengenali hakikat sesuatu perkara... Akal ialah tempat lahir dan tertegaknya ilmu. Ilmu tumbuh dari akal sebagaimana terbitnya buah-buahan dari pohon dan terpancarnya cahaya dari matahari. Akal amat mulia sehinggakan haiwan yang bertubuh besar lagi perkasa berasa bimbang dan takut ketika berdepan dengan manusia kerana menyedari manusia mempunyai helah dan upaya untuk melakukan sesuatu hasil dari kekuatan akal.” Hal ini disebutkan dalam Ihya Ulumuddin.

Justeru, apabila sahabat Omar Al-Khattab bertanya kepada sahabat Tamim Ad-Dari, “Menurut pandanganmu, apakah benda yang paling mulia,” beliau menjawab, “Akal.” Seterusnya Omar Al-Khattab berkata, “Kamu benar. Aku pernah bertanya kepada nabi soalan yang sama seperti yang aku ajukan kepadamu dan baginda menjawab, ‘Aku pernah bertanya Jibrail berhubung perkara yang paling mulia dan Jibrail berkata akal’.” Hadis ini diriwayatkan oleh Ibnul Mahbar. Dalam riwayat yang lain yang diriwayatkan oleh Abu Naim, nabi berpesan kepada Ali bin Abu Talib, “Apabila manusia mendekati Allah dengan pelbagai kebajikan maka kamu dekatilah Allah dengan akalmu.”

Al-Quran Merangsang Penguasaan Ilmu

Berbekalkan akal dan kesungguhan, tokoh-tokoh Islam sebelum ini mengamati serta mengkaji alam. Mereka melakukannya kerana dirangsang oleh Al-Quran dan hasilnya ialah meledaknya ilmu pengetahuan serta kemodenan yang berkembang hingga ke hari ini. Pengkaji Barat yang bernama Marmaduke Picktall dalam Islamic Culture berkata, “Al-Quran tanpa ragu-ragu lagi merupakan pemangkin kepada pencarian ilmu di kalangan umat Islam, terutamanya dalam bidang sains alam..... Ketika orang-orang Islam gigih mencari ilmu atas nama Tuhan, golongan Kristian menghancurkan khazanah ilmu golongan terdahulu atas nama Nabi Isa. Mereka memusnahkan kutub khanah di Alexandria dan membunuh ramai ahli falsafah termasuk Hypatia. Bagi mereka mencari ilmu adalah perangkap iblis. Konsep ‘carilah ilmu walaupun di negeri China’ tidak pernah wujud dalam ajaran mereka. Tokoh-tokoh Kristian membunuh tokoh sains seperti Bruno dan memaksa Galileo menarik balik kenyataannya berhubung peredaran bumi kerana ia bercanggah dengan kenyataan Bible yang menetapkan bumi tegun atau statik. Sebenarnya Christopher Columbus mendapat idea bumi adalah bulat dari tokoh-tokoh Islam yang mengajar di pelbagai universiti di Sepanyol.... Justeru Barat yang maju terhutang budi kepada Islam dan bukannya kepada Gereja Kristian yang telah membunuh, menyeksa serta membakar tokoh-tokoh ilmu sebelum ini.”

Mereka yang rajin bertafakur serta mengkaji rahsia alam dipuji oleh Allah. Dalam Al-Quran mereka digelar sebagai ulul albab. Dalam surah Ali-Imran ayat 190-191 Allah berfirman,


Maksudnya, “Sesungguhnya tentang penciptaan langit dan bumi serta pertukaran malam dan siang terdapat tanda (keagungan Allah) bagi ulul albab. Mereka ialah golongan yang mengingati Allah sambil berdiri atau duduk atau dalam keadaan berbaring dan mereka banyak berfikir tentang penciptaan langit dan bumi seraya berkata, ‘Wahai Tuhan kami Kamu tidak menciptakan ini dengan sia-sia. Maha Suci Engkau, maka peliharalah kami seksa neraka’.”

Golongan ulul albab ditafsirkan oleh Imam Ibn Kathir dalam Tafsir Al-Quran Al-Azim sebagai “golongan yang mempunyai pemikiran yang bersih lagi sempurna sehingga mampu memahami hakikat sesuatu perkara secara yang betul”. Mereka mencapai makam ini melalui zikir dan tafakur. Ahli-ahli sains Muslim yang bertakwa layak digelar sebagai ulul albab kerana mereka memiliki ciri-ciri yang disebutkan ini. Hal ini disebabkan mereka berkesempatan untuk berzikir serta mengagungkan Allah melalui pengamatan, analisis dan tafakur ketika cuba menyingkap rahsia alam.

Saintis-Saintis Muslim

Rangsangan dari ayat-ayat seperti ini berjaya melahirkan ramai saintis Muslim yang hebat. Antaranya ialah,

Abu Al-Qasim Al-Zahrawi (936-1013 M)

Beliau dikenali di Barat sebagai Abulcasis dan dianggap sebagai Bapa Bedah Moden. Ensiklopedia karangannya yang bertajuk At-Tasrif merupakan bahan rujukan penting dalam ilmu pembedahan ketika itu. Beliau mencipta banyak alat-alat pembedahan seperti alat pemeriksaan telinga dan saluran kencing. Beliau ialah orang pertama yang mengenal pasti penyakit keturunan yang dikenali sebagai hemofilia. Kitab beliau At-Tasrif kemudiannya diterjemahkan oleh Gherard dari Cremona ke dalam bahasa Latin sebelum diterjemahkan ke dalam bahasa Hebrew, Perancis dan Inggeris. Pakar bedah Perancis yang terkenal, Guy de Chauliac (1300-1368 Masihi) menjadikan tulisan Al-Zahrawi sebagai bahan tambahan dalam buku bedah beliau. At-Tasrif menjadi bahan rujukan selama lima abad di Universiti Salerno di Itali, Motpellier di Perancis dan beberapa universiti lain di Eropah. Mengikut Dr. Cambell dalam History of Arab Medicine, prinsip-prinsip sains perubatan yang diutarakan oleh Al-Zahrawi sebenarnya mengatasi karya Galen di Eropah.

Abu Ali Hasan Ibn Al-Haitham (965-1040 M)

Beliau dikenali di Barat sebagai Alhazen dan dianggap sebagai Bapa Optik Moden. Beliau membuat kajian tentang cahaya termasuk cahaya pada waktu matahari terbit. Di samping itu beliau juga mengkaji fenomena bayang-bayang, gerhana dan pelangi. Beliau merupakan orang pertama yang dapat menjelaskan tentang bahagian-bahagian mata dan proses penglihatan. Bukunya Kitab Al-Manadhir diterjemahkan ke dalam bahasa Latin, begitu juga dengan buku-buku beliau yang berkaitan dengan cahaya dan warna pada waktu matahari terbit. Tokoh-tokoh sains Barat seperti Roger Bacon, Pole Witelo (Vitellio) dan yang lain-lainnya banyak merujuk kepada tulisan Al-Haitham ini.

Ibn Sina (980-1037 M)

Ibn Sina dikenali di Barat sebagai Avicenna dan beliau ialah seorang tokoh perubatan Islam yang amat terkenal. Beliau merupakan orang pertama yang menjelaskan tentang penyakit radang selaput otak atau meningitis. Sumbangan beliau yang paling besar ialah bukunya yang bertajuk Al-Qanun. Ia dikenali di Barat sebagai Canon. Buku ini merupakan sebuah ensiklopedia perubatan yang mengandungi lebih daripada sejuta perkataan. Ia kemudiannya diterjemahkan ke dalam bahasa Latin oleh Gerard dari Cremona pada abad ke-12 dan menjadi buku teks di sekolah-sekolah perubatan di Eropah dari abad ke-12 hingga ke-17. Malah di penghujung abad ke-15, buku ini diulang cetak hingga mencapai edisi yang ke-16. Cameron Gruner menterjemahkan buku ini ke dalam bahasa Inggeris dengan tajuk A Treatise on the Canons of Medicine of Avicenna pada tahun 1930. Seorang tokoh perubatan yang terkenal pada abad kedua puluh, Dr. William Osler, pengarang buku Evolution of Modern Science, berkata, “Qanun menjadi buku rujukan utama dalam bidang perubatan lebih lama dari buku-buku lain.”

Yaaqub Ibn Ishaq Al-Kindi (800-873 M)

Beliau dikenali di Barat sebagai Alkindus. Al-Kindi merupakan orang pertama yang menetapkan kaedah penetapan dos dalam penggunaan ubat-ubat di zamannya. Beliau merupakan seorang penulis yang hebat dan telah menulis lebih kurang 240 buah buku dalam pelbagai bidang termasuk dalam bidang astronomi 16 buah buku, matematik 11, geometri 32, perubatan 22, fizik 12, falsafah 22, logik 9, psikologi 5 dan lain-lain lagi. Beberapa bukunya diterjemahkan ke dalam bahasa Latin oleh Gherard of Cremona. Cardano menganggap Al-Kindi sebagai salah seorang daripada 12 orang pemikir agung di dunia pada zaman pertengahan dahulu.

Abu Abdullah Al-Battani (868 - 929 M)

Al-Battani dikenali di Barat dengan nama Albategnius. Beliau amat terkenal dalam bidang matematik dan astronomi. Antara penemuan beliau yang agung ialah menetapkan tahun syamsiah menepati penemuan pada hari ini, iaitu 365 hari, 5 jam, 46 minit dan 24 saat. Battani juga menonjol dalam bidang trigonometri dan matematik. Beliau memperincikan kaedah kiraan dengan menggunakan konsep sinus dan tangen. Buku-buku beliau dalam bidang astronomi diterjemahkan ke dalam bahasa Latin pada abad kedua belas di bawah tajuk De scienta stellerum — De numeris stellerum et motibus. Copernicus dalam bukunya, De Revolutionibus Orbium Clestium menyatakan bahawa beliau terhutang budi kepada Al-Battani.

Mohammad Ibn Zakariya Al-Razi (864-930 M)

Beliau dikenali di Barat sebagai Rhazes, Ar-Razi amat menonjol dalam bidang kimia dan perubatan. Beliau merupakan orang yang pertama yang menemui penyakit campak dan cacar. Beliau juga adalah pengasas kepada bidang perubatan kanak-kanak, ibu mengandung dan sakit mata. Buku perubatannya Kitab Al-Mansoori diterjemahkan ke dalam bahasa Latin pada tahun 1480-an di Milan. Buku Al-Hawi merupakan ensiklopedia perubatan yang terbesar pada zamannya dan dikenali sebagai Continens dalam bahasa Latin. George Sarton dalam History of Science mengatakan bahawa Ar-Razi merupakan seorang tokoh perubatan Islam yang paling terkemuka di zaman pertengahan dulu. Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) dalam buletinnya pada bulan Mei, 1970 menghargai sumbangan Ar-Razi dengan berkata, ‘Tulisan-tulisannya tentang penyakit cacar dan campak begitu tepat sekali dan tulisan-tulisannya tentang penyakit berjangkit merupakan penulisan yang terawal berhubung dengan tajuk itu’.

Jabir Ibn Haiyan (Meninggal 803 M)

Jabir Ibn Haiyan dikenali sebagai Geber di Barat. Beliau dianggap sebagai Bapa Kimia Moden dan berjaya melaksanakan prosedur-prosedur sains seperti ‘penghabluran, penyulingan, kalsinasi, sublimasi dan penyejatan’. Buku-buku beliau seperti Kitab Al-Kimya dan Kitab Al-Sab'een diterjemahkan ke dalam bahasa Latin dan menjadi begitu popular di Barat selama beberapa abad lamanya. Robert dari Chester menterjemahkan Kitab Al-Kimya dengan tajuk The Book of the Composition of Alchemy pada tahun 1144. Berthelot menterjemah beberapa buku Ibn Haiyan dengan menggunakan beberapa tajuk seperti Book of Kingdom, Book of Balances, dan Book of Eastern Mercury. Beberapa kalimat kimia yang Jabir gunakan masih terkenal hingga ke hari ini seperti alkali dan lain-lainnya. Pemikir Barat, Max Mayerhaff, pernah berkata, pengembangan ilmu kimia moden di Eropah tidak dapat dipisahkan daripada Jabir ibn Haiyan.

Mohammad Bin Musa Al-Khawarizmi (Meninggal 840 M)

Beliau dikenali di Barat dengan nama Algorizm, Khawarizmi amat terkenal dalam bidang ilmu matematik. Beliau adalah pengasas kepada ilmu algebra, malah nama algebra diambil bersempena dengan nama buku beliau Al-Jabr wal-Muqabilah. Dalam bidang trigonometri, beliau mengetengahkan konsep sinus (sine) yang kemudiannya diperkembangkan kepada tangen. Konsep algoritma yang dinamakan mengikut namanya juga diasaskan oleh Khwarizmi. Beberapa bukunya diterjemahkan ke dalam bahasa Latin oleh Adelard of Bath dan Gerard of Cremona pada abad ke-12. Mengikut pemikir Barat, Phillip K. Hitti, Khawarizmi banyak mempengaruhi Barat di sudut ilmu matematiknya mengatasi penulis-penulis lain.

Jika Al-Quran berjaya merangsang umat terdahulu untuk menceburi bidang sains dan teknologi, bagaimana pula dengan kita pada hari ini? Adakah kita berpuas hati sekadar membaca Yasin pada malam Jumaat atau ketika berlaku kematian sahaja? Atau sekadar menggantung ayat-ayat Al-Quran di dinding rumah sahaja? Atau sekadar membaca Al-Quran ketika terdesak dan terpaksa sahaja? Sikap kita terhadap Al-Quran perlu berubah jika kita inginkan kejayaan.

No comments: